Isnin, 7 November 2011

Ziarah Maqam


Ada yang bertanya...
kenapa ziarah maqam Aulia...
sedangkan ia tiada memberi kuasa apa-apa...
sedangkan tempat meminta hanya pada Allah...

Benar wahai saudaraku
aku juga sama pegangan dengan mu
bahwa mereka tiada mempunyai kekuasaan apa-apa
tetapi sedikit perbezaan aku dengan dirimu
kerana aku lebih senang menziarahi mereka
kerana bagiku mereka tetap hidup
dalam membangkitkan jiwa yang mati ini
kepada cinta Tuhan…

Tapi aku juga hairan...
kenapa engkau tiada melarang aku menziarahi ahli dunia
mereka juga tiada apa-apa kuasa
malah mematikan hati yang hidup
bagiku mereka mayat yang berjalan
kediaman mereka adalah pusara
yang tiada membangkitkan jiwa
pada cinta Tuhan…

Kematian dan kehidupan disisi Allah adalah jiwa...
Ramai mereka yang dilihat hidup tapi sebenarnya mati...
Ramai mereka yang dilihat mati tapi sebenarnya hidup...
Ramai yang menziarahi  pusara terdiri dari orang yang mati...
sedangkan dalam pusara itulah orang  yang hidup...

Aku lebih senang menziarahi maqam kekasih Allah dan para syuhada
walaupun hanya pusara
tetapi ia mengingatkan aku akan kematian
kerana ia mengingatkan aku bahawa hidup adalah perjuangan
kerana aku dapat melihat
jiwa mereka ada kuasa cinta yg hebat
sehingga mereka diCintai oleh TuhanNya lantaran Kebenarannya cinta..

Wahai saudaraku
ku ziarah maqam Aulia
kerana pada maqam mereka ada cinta
lantaran Cinta Allah pada mereka
seluruh tempat persemadian mereka diCintai Allah…
Cinta tiada mengalami kematian
ia tetap hidup dan terus hidup...
dan akan melimpah kepada para pencintanya…

Aku berziarah kerana sebuah cinta
mengambil semangat mereka
agar aku dapat mengikut mereka dalam mujahadah
ku mengangkat tangan disisi maqam mereka
bukan meminta kuasa dari mereka
tapi memohon kepada Allah
agar aku juga diCintai Allah
sebagaimana mereka diCintai Allah…

Aku tiada mewajibkan engkau untuk menziarahinya
maka jangan engkau mengharam aku untuk menziarahinya
marilah kita saling menghormati dalam adab berkhilaf
selagi disana ada sandaran hujah yang benar
selagi tiada berTuhan sesama makhluk
selagi ziarah diatas nama cinta
demi menghidupkan sebuah cinta  yang suci
yang  terpendam dalam jiwa…


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...